Salam.
Moga kita dipertemukan dalam keredhaan Allah dan keberkatan Ramadhan yang mulia. Lama benar tidak menulis. Masih belum saya temui sebabnya, jemari pencari butang huruf di papan kekunci ini seringkali terhenti, lantas bermain-main dengan kuku kerana buntu.
Namun alhamdulillah, diri ini masih diberi kesempatan untuk melakar rasa dalam pencarian sebuah sakinah. Biarpun saat ini hati terasa bagaikan diselubungi awan kelabu. Berat...sebak dan sedih kerana mengenangkan masa yang terasa makin pantas berlalu untuk saya hidup dalam sebuah nikmat, yang saya pohon agar terus ada tak kira di mana pun saya berada. Namun yang pasti, ia takkan serupa. Manakan tidak, bukan semua manusia dikurniakanNya mata yang mengenal antara dosa dengan pahala, anggota tubuh yang tunduk dan patuh dalam menyahut seruan hidayahNya. Sebuah peluang yang teramat berharga kurniaan Sang Pencipta, apabila seorang hamba dipilih untuk diajar bangkit mengejar syurga setelah bergelumang dosa, mendapat kefahaman Islam, lantas mentarbiyyah dalam ditarbiyyah pula...apatah lagi mengecapi kemanisan ukhuwwah seperti yang saya rasai kini.
Alhamdulillah. Untuk terjemahan kepada nikmat ini...
Istimewa buat sahabat perjuangan, kesetiaan tak berbelah bahagi.Rindu ini memburu kenangan lalu
Di saat kita baru sahaja bangkit dari lena yang lama
Bersama bertatih, berkongsi erti letih
Terkadang jatuh dek tak terdaya menongkah
arus jahiliyyah sepanjang hijrah yang payah.
Kita membesar bersama masa
yang kemudian menuntut kita berlari
Mengharungi hujan ujian
Mencari teduhan rahmat Tuhan
Daripada petir tohmahan yang menggerunkan.
Dalam ketakutan itu
Tanganmulah yang membalut tubuh ini
Menenangkanku dengan kalam Ilahi
rangkaian janji manis yang pasti.
Kemudian hujan pun berhenti
Untuk kita kecapi indahnya pelangi
Mensyukuri sebuah nikmat teramat hebat
sebuah jalinan akidah terlalu indah
rasa kebersamaan yang utuh di hati
sepertimana sebuah anggota tubuh badan kepada
yang lainnya
melangkaui sempadan apa pun yang membatasi.
Ukhuwwah sesuci ini mengajar hati
Menangisi tembok keegoan yang sukar memaafkan
menelan kepahitan ujian dengan senyuman
Menginsafi perbezaan yang tidak diraikan
lantaran kita dipertemukan
bukan kerana cinta fana dunia
haloba pada harta
mahupun pangkat dan nama
tetapi ikatan hati dan jiwa kita
hanya akidah sebagai dasarnya…
kerana inginkan cintaNya.
Hakikatnya kita hanya punya iman
Sebagai oasis di kala kekeringan
bekal dan teman sepanjang jalan.
Maka yakinlah saudaraku, yang secara bertulis
aku akui mahu kucintai melebihi cintaku pada diri,
bahawa hujan akan turun lagi bersama petir
tapi sekadar untuk membuat kita berada lebih dekat
dalam erat dakapan persaudaraan
sebuah manifestasi kemanisan iman
kebesaran rahmat Tuhan.
Sinar Ogos 2009Kerana ukhuwwah ini fillah,
Nurul Wafa'